Jenis Makanan Sunnah
ANTARA MAKANAN SUNNAH YANG PATUT KITA AMALKAN

Madu
Madu merupakan satu-satunya makanan dihasilkan oleh lebah yang memiliki kesemua komponen keperluan hidup manusia termasuk enzim, vitamin, mineral, kandungan air dan pinocembrin iaitu satu antioksida yang membantu meningkatkan fungsi otak. Bahan antioksida diperlukan bagi melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel.
#2 – Kismis
Buah anggur segar mengandungi kandungan vitamin C dan flavonoid yang tinggi. Vitamin C banyak membantu menjaga kesihatan badan manakala flavonoid adalah antioksida yang membantu melawan radikal bebas. Anggur kering iaitu kismis pula kaya dengan pelbagai vitamin, riboflavin dan folat. Selain itu, mineral surih bernama boron membantu meningkatkan penumpuan, koordinasi tangan dan mata serta meningkatkan memori.
#3 – Kurma
Buah yang manis ini adalah suatu keajaiban untuk manusia. Memiliki mineral, vitamin, serat dan antioksida yang lengkap untuk kesihatan keseluruhan badan telah menjadikan buah kurma diiktiraf sebagai pengganti diet yang paling baik di dunia terutamanya ketika proses penyembuhan penyakit. Kurma di iktiraf oleh Rasulullah s.a.w sebagai buah yang bagus untuk otak.
#4 – Buah Tin

Demi buah Tiin dan Zaitun, Dan Gunung Tursina, Serta negeri (Makkah) yang aman ini, – Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya (dan berkelengkapan sesuai dengan keadaannya). (At-Tiin: 1-4)
Betapa hebatnya buah tin sehingga salah satu surah di dalam Qur’an dinamakan dengannya. Apa yang menyebabkan buah ini mendapat kedudukan yang istimewa di dalam Islam? Seperti kurma, kualiti buah tin bertambah seiring dengan kadar pengeringan buahnya. Buah kecil ini ternyata memiliki kandungan vitamin, mineral, serat dan antioksida yang tinggi.
Secara saintifiknya apabila komponen dan keperluan badan adalah lengkap, maka badan akan berada dalam keadaan kesihatan yang optimum kerana mampu berfungsi dengan baik. Istilah ‘you are what you eat‘ juga ada benarnya. Buah tin banyak membantu menyihatkan sistem pencernaan. Apabila sistem penghadaman sihat maka segala nutrisi dan khasiat makanan dapat diserap dengan sepenuhnya oleh darah.
#5 – Susu Kambing
Susu kambing adalah makanan penyembuhan yang terbaik bagi membina otak, sistem saraf dan fakulti mental. Susu kambing mengandungi segala vitamin, mineral, protein dan lemak yang penting bagi pertumbuhan jaringan otak, enzim dan neurotransmitter sekaligus memberi tenaga untuk otak.
Susu kambing juga adalah yang terbaik untuk menghasilkan semula sel-sel di dalam badan bagi memulihkan kesihatan seseorang. Kebaikan susu begitu diangkat sehingga di dalam riwayat Imam al Bukhari diceritakan bahawa ketika peristiwa Isra’ Mikraj, Jibril yang menghidang susu dan arak kepada Rasulullah saw telah memuji pilihan Baginda iaitu susu. Jibril berkata,
“Segala puji bagi Allah yang telah menunjukkan engkau kepada fitrah. Seandainya engkau memilih khamr, nescaya binasalah umatmu.” Susu kambing adalah makanan penyembuhan yang terbaik bagi membina sistem saraf.
Walaupun tidak dinyatakan susu apa yang dihidang kepada Baginda ketika itu namun cukup jelas bahawa Allah telah memberi nikmat yang besar kepada manusia melalui susu dan meminum susu juga menjadi sunnah KekasihNya sendiri. Begitu dekatnya susu dengan manusia sehingga susu adalah sebahagian dari fitrah manusia. Susu kambing paling menjadi kegemaran Rasulullah saw terutamanya yang diminum terus selepas diperah.
Keistimewaan susu kambing adalah pada nutrisinya yang dua kali ganda lebih baik berbanding susu lembu. Malah kehebatan susu kambing ternyata sama tandingnya dengan susu ibu sendiri. Bayi yang minum susu ibu dan susu kambing ternyata memiliki sistem imunisasi yang lebih kuat, lebih cerdas dan pintar berbanding dengan anak-anak yang diberi susu lembu atau susu ibu sahaja.
Selain itu susu kambing juga ternyata boleh diminum oleh semua peringkat umur kerana tidak menyebabkan alahan dan keradangan seperti susu lembu. Partikel lemaknya yang lebih kecil menjadikan susu kambing ternyata lebih mudah dihadam berbanding susu lembu.
Suka saya ingin pembaca supaya jelas bahawa proses penutrisian otak adalah berkait rapat dengan sistem penghadaman yang baik. Susu kambing telah terbukti mampu merawat Crohn’s disease iaitu suatu penyakit yang kronik melibatkan sistem penghadaman. Keadaan gastrik yang teruk juga boleh dipulihkan dengan susu kambing.
Melalui sistem penghadaman yang sihat, segala nutrisi yang kaya di dalam susu dapat dimanfaatkan bukan sahaja pada otak malah keseluruh tubuh manusia. Di sini jelas sunnah meminum susu kambing sangat penting dalam kesihatan dan kekuatan seorang muslim. Betapa besarnya hikmah dan nikmat Islam kepada kita.
Pembaca yang budiman, dengan mengamalkan makanan-makanan sunnah ini, kita boleh menjadi seorang yang genius! Namun menjadi genius bukan bergantung kepada makanan yang diambil semata-mata. Makanan hanya sebahagian dari kunci-kunci rahsia menjadi genius. Dengan izin Allah swt juga barulah nikmat makanan dapat dimanfaatkan oleh kita.
Sepanjang pemerhatian dan kajian saya ketika di pengajian tinggi kepada kisah hidup para ilmuwan Islam di dalam sejarah, para pensyarah dan rakan-rakan saya yang genius, ternyata genius juga bergantung kepada tabiat, aktiviti, akhlak, personaliti dan teknik belajar seseorang individu. Justeru mengenali kunci-kuncinya akan membuka peti-peti rahsia untuk meningkatkan potensi diri yang sebenar manusia.
Ternyata juga apabila seorang muslim mengenali kunci-kunci ini, kita tidak akan hairan dengan firman Allah swt di dalam surah ali Imran ayat 110 bahawa Umat Islam adalah sebaik-baik umat. Petunjuk sudah ada di situ. Islam itu adalah cara hidup menyeluruh yang membawa kejayaan dan kecemerlangan di dunia dan akhirat. Qur’an dan hadis ada menunjukkan caranya
Comments
Post a Comment